Selamat datang ke Blog Gemilang Sains..... Matlamat tanpa usaha adalah angan-angan..... Usaha tanpa matlamat umpama berjalan tanpa tujuan...... Matlamat beserta usaha pasti menghasilkan kejayaan.......

Wednesday, 19 October 2011

Planet Uranus, Neptun & Pluto

Planet Uranus
          
          Planet ketujuh dari Matahari. Mengambil masa 84 tahun untuk beredar mengelilingi Matahari. Saiznya 50 kali ganda saiz bumi dan beratnya 15 kali berat bumi. Jaraknya dari matahari adalah 2 870 630 000 kilometer. Uranus mengambil masa 84 tahun 7 hari untuk melengkapkan satu putaran. Uranus berputar pada paksinya dari barat ke timur. Warnanya agak kehijauan dengan satu jaluran berwarna perak. Uranus sebuah planet yang sejuk di mana suhunya 190 darjah celsius.

Planet Neptun

       Planet kelapan dari Matahari. Mengambil masa 165 tahun untuk beredar mengelilingi Matahari. Ia merupakan planet yang ke-empat besarnya dalam Sistem Suria. Neptun berwarna kehijauan dan beberapa jaluran warna. Jaraknya dari matahari adalah 4 496 730 000 kilometer. Garis pusat planet ini ialah kira-kira 50 232 kilometer. Ia mengambil masa 165 tahun untuk membuat satu putaran lengkap. Planet Neptun terdiri daripada lapisan-lapisan awan yang agak sejuk. Suhu di permukaannya adalah -220 darjah Celsius.

Planet Pluto

          Planet kesembilan dari Matahari. Mengambil masa kira-kira 247 tahun untuk beredar mengelilingi Matahari. Planet yang paling kecil dan paling sejuk dalam Sistem Suria. Jauhnya Pluto dari Matahari adalah 5 902 260 000 kilometer. Ukuran garis pusatnya 5 957 kilometer. Bentuknya tidak bulat tetapi agak bujur. Ia berwarna kekuning-kuningan dan terdapat sedikit saja udara. Permukaannya berbatu-batan. Suhu permukaannya terlalu sejuk sehingga sebarang udarakasa yang terdapat di sini menjadi beku.

Planet Marikh, Musytari & Zuhal


Planet Marikh

          Planet keempat dari Matahari. Mengambil masa 687 hari untuk beredar mengelilingi Matahari. Digelar planet merah kerana permukaannya diliputi habuk merah. Suhu di permukaan Marikh lebih rendah berbanding dengan suhu di bumi. Planet Marikh mempunyai dua bulan atau satelit yang kecil. Kedua-duanya boleh memberi cahaya yang sedikit pada waktu malam di Marikh.


Planet Musytari 

          Planet kelima dari Matahari. Planet yang terbesar dalam Sistem Suria. Mengambil masa 12 tahun untuk beredar mengelilingi Matahari. Musytari adalah yang terbesar daripada semua planet  isipadu lebih daripada 1 300 kali isipadu bumi. Ia dipanggil juga planet raksasa. Apabila kita melihat dengan mata kasar, ia kelihatan bercahaya dan cantik. Planet ini kelihatan seperti bola berwarna kekuningan dengan jalur-jaluran gelap merentasinya.


Planet Zuhal

           Planet keenam dari Matahari. Mengambil masa 29 tahun untuk beredar mengelilingi Matahari. Mempunyai gegelang cerah di sekelilingnya. Gegelang seperti itu tidak terdapat di mana-mana pun di alam ini selain daripada di sekeliling planet Zuhal. Gegelang itu leper dan terdiri daripada berbilion-bilion zarah seni, serpihan-serpihan batu batan atau air bergerak.  Permukaan Zuhal terdiri daripada udara dan gas-gas yang ringan. Gas-gas yang terdapat di planet ini adalah hidrogen dan helium.  Suhu dipermukaannya adalah sangat sejuk iaitu -180 darjah Celsius. Oleh itu tidak ada hidupan boleh hidup di sini.





Tuesday, 18 October 2011

Planet Utarid, Zuhrah & Bumi

Planet Utarid

           Planet yang paling dekat dengan Matahari. Ia merupakan planet yang paling kecil dan sangat panas. Jaraknya dari matahari kira-kira 576 000 000 kilometer. Planet ini mengambil masa selama 88 hari untuk beredar mengelilingi matahari. Kita dari bumi memerlukan 83 hari untuk sampai ke planet ini. Masa yang diambil oleh planet Utarid untuk berputar di atas paksinya ialah 58 hari sekali putaran.


Planet Zuhrah


            Planet Zuhrah terletak di orbit yang kedua iaitu antara Utarid dan Bumi. Nama lain bagi planet ini adalah Kejora. Zuhrah juga dikenali sebagai 'saudara kembar bumi'. Ini adalah kerana ianya hampir besar dengan bumi, malahan berat dan ketumpatannya pun serupa dengan bumi. Garis pusatnya berukuran 12 397 kilometer dan jaraknya dari matahari adalah 107 000 000 kilometer. Ia mengambil masa 225 hari untuk mengelilingi matahari. Planet ini berpusingan di paksinya iaitu dari timur ke barat. Sekali putaran di paksinya ialah 240 hari. Kadangkala Zuhrah sukar dilihat. Ini adalah kerana Zuhrah disaluti oleh awan putih yang tebal dan selalunya berkabus. Lagipun tidak banyak sinaran matahari boleh sampai di permukaannya.  

Planet Bumi


          Planet Bumi adalah yang ketiga hampir dengan matahari dan hanya di bumi saja terdapat kehidupan seperti manusia, haiwan dan tumbuhan. Bumi berbentuk sfera seperti sebiji bola. Oleh sebab itu, kita boleh belayar ke timur atau ke barat, kemudian balik ke tempat asal. Diameter bumi adalah 12 756 kilometer dan jaraknya ke Matahari adalah kira-kira 150 000 000 kilometer.


Monday, 17 October 2011

Sistem Suria

Sains Tahun 4

Objektif Umum         :       1. Sistem Suria (Solar System)
Objektif Khusus        :      1.1 Memahami Sistem Suria
Hasil Pembelajaran :   
                                           i)  Murid dapat menyenaraikan ahli-ahli Sistem Suria
                                           ii) Murid dapat menyenaraikan nama-nama planet dalam
                                               Sistem Suria mengikut urutan.
                                          iii) Murid dapat menyatakan bahawa planet-planet
                                               bergerak mengelilingi Matahari.
                               
        
          Sistem Suria kita terdiri daripada Matahari, planet, satelit semula jadi, komet, meteoroid dan asteroid. Matahari merupakan pusat Sistem Suria yang dikelilingi oleh beberapa jasad seperti planet-planet dan objek-objek lain di angkasa. Sistem Suria terletak di dalam galaksi yang bernama Bima Sakti iaitu di antara berjuta galaksi di alam semesta. Sembilan planet yang mengorbit matahari ialah Utarid (Mercury), Zuhrah (Venus), Bumi (Earth), Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus, Neptun (Neptune) dan Pluto. Semua planet dalam Sistem Suria bergerak mengelilingi Matahari di ruang angkasa. Tempoh masa yang diambil oleh sesebuah planet untuk mengelilingi matahari dalam satu kitaran disebut sebagai satu tahun.


          “Planet” berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud "pengembara" kerana planet-planet ini kelihatan bergerak laju apabila di lihat melalui teleskop. Semua planet kecuali Utarid dan Zuhrah mempunyai satelit semula jadi yang sentiasa mengorbit planet. Satelit semula jadi Bumi dinamai bulan dan satelit ini tidak mengeluarkan cahaya tetapi memantulkan cahaya dari Matahari. Selain planet-planet, terdapat juga serpihan kecil atau dunia kerdil yang terapung di angkasa yang dinamai asteroid. Planet kerdil terdiri daripada planet Utarid dan Zuhrah, manakala planet-planet gergasi ialah Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun.

           Planet bergerak dengan halaju maksimum apabila menghampiri Matahari dan bergerak dengan halaju minimum apabila menjauhi Matahari. Setiap planet juga berputar pada paksinya dengan kelajuan berbeza-beza dan mempunyai daya graviti yang berbeza-beza juga. Daya tarikan graviti matahari akan mengelakkan planet-planet serta objek-objek lain dalam sistem suria daripada melayang di angkasa lepas. Pada masa yang sama daya yang terhasil daripada putaran dan peredaran planet-planet menghalangnya daripada ditarik terus ke pusat graviti matahari

Wednesday, 12 October 2011

Salam perkenalan

Salam perkenalan. Selamat datang ke Blog Gemilang Sains. Blog ini Cikgu Nory sediakan untuk berkongsi maklumat dengan semua terutamanya murid-murid tahap 2 sekolah rendah. Cikgu Nory akan berusaha menyediakan nota-nota dan juga latihan-latihan bagi meningkatkan lagi kemahiran dan kefahaman murid-murid dalam menguasai salah satu bidang Sains iaitu "Menyiasat Bumi dan Alam Semesta". Semoga blog Cikgu Nory dapat memberikan manfaat kepada semua. Terima kasih!!!